
ALOR SETAR, 10 Jun – Pembangunan sahsiah dan keperibadian pelajar perlu diberi perhatian sama penting dengan kecemerlangan akademik untuk melahirkan pemimpin masa depan negara.
- Pembangunan modal insan seimbang mesti disepadukan dengan pembangunan fizikal dan prasarana sekolah bagi melahirkan generasi berkualiti.
- Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu mempertingkat infrastruktur serta kemajuan sekolah, terutama di sekolah-sekolah agama.
- Sistem pendidikan harus dinamik, progresif dan bersedia menghadapi perubahan; pelajar perlu keyakinan, kemahiran berinteraksi dan mengemukakan idea.
- Guru ialah agen penting; melalui pengajaran, teladan dan aktiviti, mereka perlu kompetensi tinggi kembangkan kemahiran, bakat, potensi serta nilai Rukun Negara.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, pembangunan modal insan seimbang juga perlu dilaksanakan seiring dengan pembangunan fizikal dan prasarana sekolah yang selesa bagi melahirkan generasi berkualiti.
Menurut baginda, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu memainkan peranan dalam mempertingkatkan pembangunan infrastruktur serta kemajuan sekolah, khususnya di sekolah-sekolah agama.
Baginda bertitah, sistem pendidikan masa kini tidak lagi terhad kepada fungsi tradisional, sebaliknya perlu sentiasa dinamik, progresif dan bersedia menghadapi perubahan serta pembaharuan selaras dengan perkembangan zaman.
“Para pelajar perlu dipersiapkan untuk menghadapi cabaran abad ini dengan memiliki keyakinan diri ketika berinteraksi, mampu memberikan maklum balas serta mengemukakan idea dalam kumpulan dan pelbagai situasi lain.
“Perkara ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada pelajar, malah turut memberi manfaat kepada sekolah dan negara, sekali gus menyokong aspirasi menjadikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia,” titah baginda.
Baginda turut menegaskan bahawa pencapaian pelajar menjadi ukuran keberkesanan proses pembelajaran yang dilalui di dalam bilik darjah serta membentuk amalan pembelajaran sepanjang hayat.
Sultan Kedah bertitah demikian pada Majlis Haflu Takrim Al-Mutafawwiqin 2026 yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, baginda menegaskan peranan guru dalam melaksanakan dasar pendidikan negara tidak boleh dipertikaikan, kerana golongan tersebut merupakan agen penting dalam membentuk generasi yang memahami serta menghayati prinsip Rukun Negara.
Menurut baginda, melalui pengajaran, teladan dan pelaksanaan aktiviti yang bersesuaian, guru mampu melahirkan rakyat yang bersatu padu, berakhlak mulia serta cintakan negara.
Sehubungan itu, guru perlu memiliki kompetensi yang tinggi bagi mengembangkan kemahiran, bakat, potensi dan pengetahuan pelajar dalam pelbagai bidang.