
KUALA LUMPUR, 6 November – Pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar ditangguhkan sementara bagi mendapatkan kepastian undang-undang berhubung status baki hukuman penjara dalam kes SRC International.
- AGC menegaskan penangguhan perlu bagi memastikan Perintah Pengampunan Bersyarat (18 Sept 2026) dan perintah mahkamah tidak bercanggah dengan undang-undang.
- Isu utama ialah sama ada pembayaran denda RM50 juta menamatkan keseluruhan hukuman atau baki perlu dijalani sebagai tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.
- Order of Discharge 6 November 2026 merekod pembayaran denda, mengarahkan pelepasan serta menyatakan baki hukuman perlu dijalani.
- AGC menuntut tafsiran undang-undang muktamad sebelum pelaksanaan selanjutnya; Najib kekal di tempat tahanan sedia ada, tertakluk arahan pihak berkuasa.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu bertujuan memastikan pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat bertarikh 18 September 2026 serta perintah mahkamah berkaitan tidak bercanggah dengan kedudukan undang-undang sebenar.
Menurutnya, persoalan utama yang memerlukan penelitian ialah sama ada pembayaran denda RM50 juta oleh Najib menyebabkan keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap selesai atau baki hukuman penjara masih perlu dijalani melalui kaedah tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Isu itu timbul susulan Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pembayaran denda RM50 juta direkodkan.
Walaupun perintah berkenaan mengarahkan Datuk Seri Najib dilepaskan serta-merta, ia pada masa sama menyatakan baki hukuman perlu dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
“Jabatan Peguam Negara berpandangan penjelasan undang-undang yang muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil,” menurut kenyataan AGC.
AGC berkata, penangguhan itu perlu diteruskan sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perintah mahkamah berkenaan diselesaikan.
Dalam tempoh berkenaan, Datuk Seri Najib akan kekal di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa berkaitan.
Pada masa sama, AGC berkata, isu itu turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), memandangkan perintah mahkamah menetapkan hukuman bagi kes berkenaan bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.
Perkara itu juga perlu diteliti dengan mengambil kira permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman bagi kes 1MDB yang ditolak Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober lalu.
AGC menegaskan, penangguhan sementara itu bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sebaliknya bagi memastikan titah pengampunan dan perintah mahkamah berkaitan dilaksanakan dengan tepat serta teratur.