KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Pelaksanaan Cadangan Dasar Gaji Progresif wajar dipertimbangkan secepat mungkin sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan dari sekarang, kata Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal.
Menurut beliau, pelaksanaan dasar itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan di pasaran pekerja, sekali gus memastikan pekerja tidak terbeban dengan kos sara hidup.
"Saya berpendapat cadangan ini satu pengisian yang terbaik dalam waktu sekarang. Apa yang penting kita mesti terjemahkan gaji progresif sebagai satu rangka atau satu pelan tindakan supaya perkara ini dapat di laksanakan dengan cara yang terbaik.
"Ini setelah dapat persetujuan daripada semua pihak agar tidak mengambil masa yang panjang sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu dalam Program Bicara Naratif di Angkasapuri malam tadi.
Pada 7 Julai lalu, kerajaan memberi jaminan akan mengkaji semula gaji dan elaun penjawat awam seluruh negara dalam masa terdekat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kali terakhir kadar gaji berkenaan digubal adalah pada 2013 dan ia dilihat tidak setimpal dengan tugasan.
Susulan itu, semalam Perdana Menteri mengumumkan Cadangan Dasar Gaji Progresif akan dibawa kepada Jemaah Menteri untuk memperhalusi mekanisme pelaksanaan secara berperingkat.
Beliau berkata cadangan itu sekali gus meneroka keperluan bagi memperuntuk dana sebagai insentif berdasarkan kedudukan kewangan kerajaan serta keperluan dasar.
Dasar itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada Isnin sebagai satu anjakan ke arah memulihkan pasaran pekerja supaya gaji dapat dipertingkat dengan lebih konsisten dan pengagihannya lebih seimbang.
ARTIKEL BERKAITAN:
Dasar Gaji Progresif, pembentangan kertas putih di Parlimen pada September
Kerajaan perhalusi pelaksanaan Dasar Gaji Progresif
Jamin upah lebih adil, perlu dasar penentuan gaji bersesuaian
CUEPACS harap kerajaan segerakan kenaikan imbuhan penjawat awam