
DUNGUN, 24 Januari – Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Bukit Besi, Dungu, Terengganu ditemukan lemas di kawasan air terjun Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun di sini hari ini.
- Pelajar UiTM ditemui lemas selepas dipercayai tenggelam ketika mandi-manda di air terjun Tasik Puteri.
- Pasukan bomba dan PPDA menjalankan operasi SAR; mayat ditemukan pada kedalaman tujuh meter, jarak empat meter dari lokasi.
- Mayat diserahkan kepada polis dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat serta tindakan lanjut.
Mangsa, Amirul Danish Zamri, 19 tahun, merupakan pelajar bidang Mekanikal di UiTM terbabit dikatakan ke pusat rekreasi berkenaan bersama dua belas
lagi rakannya untuk berkelah.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.10 pagi dan mangsa berasal dari Kampung Seberang Pintasan, Dungun, Terengganu.
Ketika kejadian, mangsa bersama rakan yang lain dikatakan sedang melakukan aktiviti berkelah dan mandi-manda di kawasan air terjun berkenaan sebelum dipercayai lemas.
Beberapa rakan mangsa dikatakan cuba menyelamatkan mangsa gagal sebelum mangsa tenggelam di dasar sungai berkenaan.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Usaha pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Mayat mangsa kemudiannya berjaya ditemukan pasukan SAR pukul 12.40 tenghahari pada kedalaman tujuh meter dan jarak empat meter dari tempat dia dilaporkan lemas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut.