Pelabuhan Bintulu perkukuh ekonomi, hab maritim strategik

Foto Jabatan Penerangan

BINTULU, 21 Jun – Penyerahan rasmi Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak bakal memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab maritim dan industri strategik negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyerahan membuka lembaran baharu bagi Sarawak mengurus sendiri aset strategik tenaga, perdagangan dan logistik.
  • Bintulu diiktiraf WEF sebagai Kluster Industri Peralihan; kelebihan tenaga bersih dan pembangunan rendah karbon menyokong kemampanan industri masa hadapan.
  • Kerajaan negeri merancang menyatukan semua pelabuhan di bawah Lembaga Pelabuhan Sarawak untuk memperkemas tadbir urus dan pelaksanaan Pelan Induk.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bukan sekadar pemindahan pentadbiran, malah membuka lembaran baharu dalam usaha Sarawak mengurus sendiri aset strategik yang menjadi nadi kepada sektor tenaga, perdagangan dan logistik negara.

“Untuk makluman, Bintulu telah diiktiraf Forum Ekonomi Dunia (WEF) sebagai Kluster Industri Peralihan (TIC). Pengiktirafan tersebut, serta kekuatan dalam tenaga bersih dan pembangunan rendah karbon, kita berupaya mengangkat Malaysia sebagai antara kawasan yang mampan dalam pembangunan ekonomi berasaskan industri dan tenaga masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu Daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di sini hari ini.

Pembangunan Pelabuhan Bintulu mempunyai sejarah panjang hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak sejak awal pembinaannya bagi menyokong industri gas asli cecair (LNG) negara.

Premier Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Persekutuan mencapai persetujuan secara prinsip mengenai pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bernilai RM1.8 bilion, termasuk kaedah pembayaran yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Kerajaan negeri turut merancang menyatukan semua pelabuhan negeri bawah Lembaga Pelabuhan Sarawak bagi memperkemas tadbir urus serta pelaksanaan Pelan Induk Pelabuhan Sarawak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.