
MELAKA, 21 Jun – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan pelaksanaan kelulusan pembiayaan TEKUN Nasional bagi nilai sehingga RM20,000 dalam tempoh 24 jam bagi membantu usahawan mikro mendapatkan modal pusingan dengan segera.
- Projek rintis sedang dijalankan, pelancaran rasmi dijangka dalam dua hingga tiga bulan untuk memudahkan peniaga kecil.
- Tempoh permohonan TEKUN sehingga RM100,000 dipendekkan kepada tujuh hari berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.
- KUSKOP menyasarkan penyaluran RM15 bilion kepada PMKS melalui inisiatif PowerUp10K sepanjang tahun ini.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah proaktif itu kini sedang melalui fasa projek rintis dan dijangka akan dilancarkan secara rasmi dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi bagi memudahkan urusan peniaga kecil tanpa perlu menunggu lama.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa tempoh proses permohonan pembiayaan TEKUN Nasional bagi nilai sehingga RM100,000 juga telah dipendekkan kepada hanya tujuh hari berbanding kira-kira 30 hari sebelum ini.
“Bagi pembiayaan di bawah Bank Rakyat dan SME Bank pula, permohonan sehingga RM1 juta disasarkan menerima keputusan dalam tempoh 14 hari,” katanya selepas melancarkan Portal TEKUN Nasional sempena Majlis Penutupan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia 2026 di Morten Walk, di sini hari ini.
Menurut Sim, pembaharuan tersebut amat penting bagi memastikan golongan usahawan tidak berdepan kekangan birokrasi dan masa untuk mendapatkan dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan bahawa setakat 31 Mei lalu, KUSKOP telah meluluskan nilai pembiayaan keseluruhan sebanyak RM5 bilion yang telah memberikan manfaat kepada lebih 180,000 perusahaan di seluruh negara.
Bagi memperkasakan lagi sektor berkenaan, KUSKOP menyasarkan penyaluran dana pembiayaan yang lebih besar berjumlah RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi inisiatif PowerUp10K sepanjang tahun ini.