
KANGAR, 21 Jun – Sebanyak 4,875 pek darah berjaya dikumpul menerusi pelbagai program dan kempen yang dilaksanakan di seluruh Perlis sepanjang lima bulan pertama tahun ini, berbanding 4,795 pek darah bagi tempoh sama tahun lalu.
- Masyarakat semakin cakna tentang pentingnya mengekalkan stok bekalan darah di Hospital Tuanku Fauziah.
- Hospital mengalu-alukan penyertaan orang ramai, agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam kempen derma darah.
- Kempen Derma Darah Sedunia: Setitik Darah Sejuta Harapan dianjurkan St John Ambulans Malaysia bersama Jabatan Perubatan Transfusi.
- Program dua hari di Jabatan Perubatan Transfusi dijalankan sebagai tanggungjawab sosial untuk meningkatkan kesedaran pendermaan darah.
Menurut Pegawai Perubatan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Tuanku Fauziah, Dr Mohammad Illiyas Habulat, peningkatan jumlah pendermaan darah itu membuktikan masyarakat semakin cakna terhadap kepentingan mengekalkan stok bekalan darah, khususnya di Hospital Tuanku Fauziah.
“Kami sentiasa mengalu-alukan penyertaan orang ramai, agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan untuk terus menganjurkan kempen derma darah bagi memastikan bekalan semua jenis darah di Hospital Tuanku Fauziah kekal pada tahap selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Kempen Derma Darah Sedunia: Setitik Darah Sejuta Harapan yang dianjurkan oleh St John Ambulans Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Tuanku Fauziah di sini.
Program dua hari sehingga hari ini itu berlangsung di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kepada masyarakat serta bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendermaan darah.