
MARANG, 21 Jun – Pengoperasian semula Kapal Latihan Cermin (KL Cermin) menjadi aset penting bagi latihan laut di Akademi Perikanan Malaysia (APM).
- Sasar 10 latihan setahun melibatkan pelajar APM di perairan Pantai Timur, melahirkan tenaga kerja perikanan berkemahiran dan kompeten.
- Projek naik taraf 2023 hingga 2025 bernilai RM10.14 juta untuk memastikan kapal relevan sebagai platform latihan laut.
- Kapasiti 16 kru dan 35 pelatih memberi pengalaman operasi sebenar, latihan navigasi, pengendalian peralatan dan pemantauan kualiti air.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata KL Cermin menyasarkan 10 kali latihan setahun melibatkan pelajar APM di perairan Pantai Timur Semenanjung.
“Platform latihan amali ini melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan kompeten untuk sektor perikanan negara,” katanya.
Beliau berkata kapal yang disumbangkan oleh kerajaan Jepun pada tahun 1992 telah mengalami beberapa kerosakan dan dibaik pulih di Kuala Penyu, Sabah.
Bagi memastikan kapal ini terus relevan sebagai platform latihan, projek naik taraf sejak 2023 hingga 2025 melibatkan peruntukan RM10.14 juta.
Beliau berkata kekuatan sektor perikanan kini bergantung kepada keupayaan melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran baharu industri.
“Kapal berkapasiti 16 kru dan 35 pelatih diguna pakai untuk mereka menjalani latihan termasuk mengendalikan peralatan ikan, latihan navigasi dan peralatan sokongan ikan seperti sonar.
Kemudahan ini memberi peluang kepada pelajar dan peserta latihan untuk memperoleh pengalaman operasi sebenar di laut sebagai pelengkap kepada pembelajaran teori di bilik kuliah,” jelasnya lagi.
Pelatih APM, Siti Humairah Najwa Abd Rahman menyifatkan sesi pembelajaran di atas kapal berkenaan bermanfaat untuk mengetahui kehidupan sebenar haiwan di habitat masing-masing.
Manakala Muhamad Zulfarid Slamet Suwaito turut berpandangan sama bahawa latihan ini membantu menambah pengetahuan dalam bidang ternakan akuakultur dan kualiti air.
Mereka ditemui pada majlis pelancaran kapal Latihan KL Cermin bersempena Program Latihan Operasi Laut Pelajar Program Sijil Perikanan APM di perairan Kuala Terengganu.