Subsidi diesel RM2.10 seliter guna MyKad mulai Julai

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Rakyat Malaysia bakal menikmati pembelian diesel bersubsidi yang lebih tersasar dan seragam di seluruh negara menerusi penggunaan MyKad bermula Julai ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsidi diesel disasarkan melalui pengesahan MyKad bagi memastikan bantuan hanya dinikmati golongan yang layak.
  • Harga diesel bersubsidi diselaraskan kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia.
  • Bukan warganegara dan pihak tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi.
  • Rakyat di Sabah dan Sarawak akan menikmati pengurangan harga subsidi kepada RM2.10 seliter.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan itu bagi memastikan bantuan hanya dinikmati golongan yang layak selain mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi.

Menerusi mekanisme baharu itu, rakyat Malaysia akan menikmati harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter.

Manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli bahan api berkenaan pada harga tanpa subsidi.

“Pendekatan berasaskan MyKad tersebut selaras dengan pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 yang memberi penekanan kepada penyaluran subsidi secara lebih bersasar.

“Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara.

“Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Menurut kementerian itu, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga pasaran sebelum ini telah membuka ruang kepada penyalahgunaan termasuk penyeludupan ke luar negara.

Di Sabah dan Sarawak, harga diesel bersubsidi ketika ini adalah RM2.15 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung.

“Menerusi pelaksanaan baharu itu, rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan diesel di kedua-dua negeri berkenaan akan menikmati pengurangan harga kepada RM2.10 seliter,” katanya.

Butiran lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.