
BINTULU, 21 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan harga diesel bersubsidi diturunkan kepada RM2.10 seliter bermula Julai ini.
- Kerajaan mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi, memberi manfaat kepada pengguna diesel.
- Harga diesel akan diseragamkan untuk pengguna MyKad di semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi memastikan kesamaan harga.
- Penggunaan MyKad ditetapkan untuk mengurangkan ketirisan dan risiko penyeludupan bahan api, terutama di kawasan sempadan.
- Harga RON95 kekal RM1.99 seliter; perincian pelaksanaan subsidi diesel akan diumumkan kerajaan esok.
Penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
“Kalau kita menggunakan MyKad, harganya adalah sama di semenanjung, Sabah dan Sarawak, iaitu RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel,” katanya.
Beliau mengumumkan perkara itu pada majlis penyerahan cek susulan penukaran status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan Kepada Pelabuhan Negeri di sini.
Jelas Datuk Seri Anwar, penggunaan MyKad adalah bagi mengelakkan ketirisan berikutan risiko penyeludupan bahan api itu yang tinggi, khususnya di kawasan sempadan.
Sementara itu, harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter.
Perincian mengenai pelaksanaan penurunan subsidi diesel akan diumumkan kerajaan esok.
Harga diesel bersubsidi ketika ini ialah RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit diesel tanpa subsidi di semenanjung iaitu RM4.37 seliter.