fb fb fb fb fb

Pasang tangki tambahan seludup minyak, KPDN Kedah rampas 230 liter petrol

Tangki tambahan yang telah diubah suai bagi mengisi minyak disyaki petrol

DURIAN BURUNG, 9 Ogos- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menggagalkan cubaan menyeludup disyaki petrol hasil pemeriksaan ke atas dua buah kenderaan yang ditinggalkan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Kota Putra, Durian Burung, Kedah.

Pengarah KPDN Muhammad Nizam Jamaludin menerusi kenyataan memaklumkan kira-kira 230 liter minyak disyaki petrol di dalam tangki kedua-dua kenderaan tersebut disita menerusi Ops Tiris 3.0 semalam .

Katanya anggaran nilai rampasan petrol disita lebih RM500.

Pemeriksaan awal ke atas kedua-dua kenderaan tersebut telah menemui tangki tambahan yang telah diubah suai bagi mengisi minyak disyaki petrol.

Kedua-dua kenderaan  turut dirampas bagi siasatan lanjut. Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan lebih  RM20,500.

Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesan kedua-dua pemilik kenderaan tersebut.

Kes disiasat bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dan dibaca bersama Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE