(MARIA telah dilesenkan secara eksklusif kepada Syarikat Padi Pukal Parit 7 (Sekincan) Sdn. Bhd)
SUNGAI BESAR, 15 Julai- Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan varieti padi baharu dikenali sebagai MRQ 103 dengan nama komersial ‘MARDIRiceAroma’ (MARIA).
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata MARIA adalah baka baharu dihasilkan melalui kacukan di antara MRQ 89 dan MRQ 50.
Beliau berkata, MARIA yang mempunyai tempoh matang lebih singkat dan penghasilan lebih banyak, berbanding baka yang dihasilkan sebelum ini melalui tempoh kajian selama 13 tahun dengan kos hampir RM1 juta.
"Varieti ini mempunyai keistimewaan iaitu lebih singkat tempoh penanamannya, sekitar 117 hingga 120 hari selepas tabur serta prestasi hasil padi boleh mencapai 5.8 tan sehektar.
"Jika dibandingkan dengan baka yang dihasilkan sebelum ini lazimnya, akan memakan masa melebihi 120 hari untuk mencapai tempoh matang dengan ketinggian sekitar 119 cm dan pengeluaran hasil tidak sampai lima metrik tan padi per hektar.
“Varieti ini juga sederhana rintang terhadap penyakit karah dan bena perang, namun ia sederhana rentan kepada penyakit hawar daun bakteria, hawar seludang dan penyakit merah virus (tungro),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Varieti Padi Spesialiti Baharu MARIA di Plot Petani Parit 1 Timur, dekat sini.
Mengulas lanjut, Kiandee berkata beras Maria ini tergolong dalam kategori beras yang panjang dan tirus, beraroma serta kandungan amilosa yang sederhana.
"Tekstur nasinya tidak melekit dan mempunyai kandungan indeks glisemik (Gl) yang rendah sesuai untuk pesakit diabetis.
(Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (kanansekali) bersama Ketua Pengarah
Institut Penyelidikandan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani(dua dari kanan)
semasa membuatlawatan ke tapak pamerandi Plot Petani Parit Satu Timur Sungai Besar)
"Permintaan tinggi bagi pengeluaran beras wangi, menjadi pemangkin kepada MARDI melaksanakan kajian dengan 53 varieti berjaya dikeluarkan oleh institut penyelidikan itu.
“Daripada 53 varieti itu, 40 merupakan padi biasa, 12 adalah padi spesialiti dan satu adalah padi hibrid," katanya.
Mengulas lanjut berhubung pengeluiaran beras berkenaan, Kiandee berkata MARIA telah dilesenkan secara eksklusif kepada Syarikat Padi Pukal Parit 7 (Sekincan) Sdn. Bhd.
katanya, ia merupakan kerjasama pintar MARDI bersama syarikat berkenaan bagi membolehkan padi spesialiti terus diperluaskan pengeluarannya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata kementeriannya juga turut mengedarkan baja GENKiMO MARDI kepada tiga Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di kawasan Sungai Besar.
Katanya, ia telah dibuktikan keberkesanannya meningkatkan hasil padi sehingga 25 peratus melalui beberapa siri kajian di Sekinchan, Selangor; Kampung Sungai Rambai, Melaka; Tanjung Tualang, Perlis dan Kampung Wasan di Brunei.