fb fb fb fb fb

Op Mahir: 52 warga asing dicekup Imigresen

Foto Jabatan Imigresen Kedah

KULIM, 21 Ogos - 52 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam operasi Mahir yang dijalankan ke atas sebuah kilang pembuatan barangan komponen elektrik di Kawasan Perusahaan Kulim, di sini semalam.

Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata hasil aduan dan risikan diterima pihaknya telah memeriksa 695 individu menerusi operasi tersebut.

"570 individu merupakan warga tempatan manakala selebihnya merupakan warga Amerika Syarikat, Bangladesh, Nepal, Myanmar dan China," jelasnya.

Menurut beliau, 52 warga asing yang ditangkap itu disyaki melakukan pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Mereka yang ditahan berusia antara 22 hingga 52 tahun terdiri daripada 30 lelaki dan 18 wanita warga China, 3 lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Pakistan dan kesemuanya telah dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut.

Tegas Mohd Ridzzuan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin.

Beliau turut memberi amaran tegas kepada semua pengusaha dan majikan di negeri ini agar sentiasa memastikan pekerja yang diambil bekerja memiliki dokumen dan pas yang sah serta mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Jabatan Imigresen Kedah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berkala.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN