PUCHONG , 9 Julai - Sebanyak 17 aduan berkaitan harga mahal dan kenaikan harga barang direkodkan sepanjang tempoh pelaksanaan Op Kesan 4.0 di seluruh negara yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, operasi ini bertujuan memastikan tiada pihak mengambil kesempatan susulan semakan kadar Cukai Jualan (CJ) serta peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa sejak 1 Julai lalu.
Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil - Foto KPDN
"Aduan ini masih dalam siasatan lanjut dan KPDN akan mengambil tindakan tegas sekiranya didapati berlaku kenaikan harga yang tidak munasabah dan melanggar undang-undang antipencatutan.
"Mana-mana individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Manakala syarikat yang terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, selain tindakan lain jika sabit kesalahan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Op Kesan 4.0 di sebuah premis perniagaan di sini hari ini.
Shamsul Nizam berkata, pemeriksaan meliputi semua kategori perniagaan iaitu pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit.
Pemeriksaan meliputi semua kategori perniagaan iaitu pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit - Foto KPDN
Menurutnya, pemeriksaan pada hari ini membabitkan pemborong barangan keperluan pengguna seperti rempah ratus dan makanan dalam tin.
"Ia bertujuan untuk memastikan sama ada terdapat pergerakan harga akibat pengenaan cukai oleh pembekal ke atas barangan bercukai adalah teratur," katanya.
Sementara itu, beliau berkata sehingga semalam sebanyak 375 premis diperiksa melibatkan 1,698 unit simpanan stok (SKU) barangan oleh pasukan penguat kuasa di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, enam notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada peniaga yang disyaki terlibat dengan pencatutan.
"Kami telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak terbabit, di mana mereka bersetuju untuk menangguh kenaikan harga tersebut.
"Selanjutnya, kami telah mengeluarkan notis rasmi kepada mereka bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kos serta harga barangan berkenaan," katanya.
Beliau turut menasihatkan peniaga menyimpan rekod dan resit selama tujuh tahun bagi mengelakkan tindakan di bawah Seksyen 53, AKHAP 2011 serta perlu mengemukakan maklumat apabila diminta dalam tempoh ditetapkan melalui notis rasmi.