PUTRAJAYA, 13 Januari - Pelaksanaan Operasi Benteng (Op Benteng) di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) akan ditamatkan pada Jun ini dan kembali diambil alih oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, KDN sedia memikul tanggungjawab itu sambil menegaskan, pelbagai usaha akan dibuat bagi memastikan OP Benteng sentiasa ke hadapan.
"Saya perlu umumkan di hadapan semua orang untuk memastikan KDN telah bersedia.
"Buat masa ini kita bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kementerian, namun apabila semuanya sudah berakhir ia akan kembali semula kepada KDN dan usaha memastikan Op Benteng sentiasa ke hadapan akan dibuat," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2022 KDN di Putrajaya.
Op Benteng diaktifkan sejak Mei 2020 di bawah NTF dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Ia dikhususkan untuk mengawal sempadan negara daripada dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak COVID-19 yang dikhuatiri dibawa oleh PATI berkenaan.