fb fb fb fb fb

Negeri Sembilan lulus bina kilang pembuatan, pemasangan NEV

Datuk Mohd Zafir Ibrahim membacakan teks ucapan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun pada Program Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan (HKANS) Tahun 2024

SEREMBAN, 16 November- Kerajaan Negeri Sembilan telah meluluskan pembinaan kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) berteknologi hijau pertama negara di kawasan perindustrian Chembong yang berkeluasan 29.68 hektar.  

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu jelas menunjukkan kerajaan Negeri Sembilan menyokong pembangunan projek-projek berimpak tinggi berkaitan tenaga boleh baharu bagi meningkatkan kelestarian alam di negeri itu. 

"Dalam usaha kita membangunkan projek-projek tenaga boleh baharu, adalah penting untuk semua pihak dalam memberi perhatian terhadap sistem pengurusan tenaga sedia ada di bangunan dan industri.

"Perkara itu agar dapat memastikan penggunaan tenaga lebih cekap dan efisien serta tiada pembaziran yang berlaku," katanya.

Teks ucapan Datuk Seri Aminuddin Harun dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim ketika merasmikan Program Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan (HKANS) Tahun 2024 di sini.

Program Hari Kelestarian Alam Negeri Sembilan (HKANS) Tahun 2024 bertujuan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkaitan kepentingan memelihara dan memulihara kelestarian alam dalam kehidupan seharian. 

Pelbagai acara menarik akan diadakan untuk semua lapisan masyarakat seperti zumba, pertandingan reka cipta, pertandingan mewarna, Jualan Rahmah , persembahan sketsa dan perkhidmatan jabatan-jabatan kerajaan termasuk pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan, dan wellness on wheel. 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI