Piala Dunia: Pemain Norway diraikan seperti wira

Foto REUTERS

OSLO, 14 Julai – Puluhan ribu penyokong membanjiri pekarangan Istana Diraja di sini malam semalam (Isnin) bagi meraikan kepulangan skuad bola sepak kebangsaan Norway yang menamatkan kempen di suku akhir Piala Dunia, Amerika Syarikat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekalahan tipis 1-2 kepada England pada masa tambahan menamatkan kempen Norway di suku akhir Piala Dunia.
  • Rakyat Norway tetap meraikan pencapaian bersejarah pasukan walaupun gagal ke separuh akhir.
  • Dianggarkan 100,000 penyokong memenuhi dataran dan Karl Johans gate menunjukkan sokongan padu.
  • Erling Haaland tidak hadir dalam fasa akhir; Putera Mahkota Haakon mengetuai sorakan "Viking row" dan pemain berarak menaiki bas terbuka.

Meskipun impian ke separuh akhir lebur susulan kekalahan tipis 1-2 kepada England pada masa tambahan Sabtu lepas.

Kegagalan di peringkat suku akhir itu sedikit pun tidak menghalang rakyat Norway untuk meraikan pencapaian bersejarah pasukan mereka.

Dianggarkan seramai 100,000 penyokong memenuhi Dataran Istana sebelum melimpah ruah sehingga ke jalan utama, Karl Johans gate, bagi menyatakan sokongan padu mereka.

Suasana meriah menyelubungi pekarangan istana sebaik sahaja barisan pemain melangkah keluar ke balkoni untuk menyapa peminat, sambil diiringi Pasukan Pengawal Diraja.

Bagaimanapun, kelibat penyerang sensasi, Erling Haaland tidak kelihatan pada fasa terakhir acara sambutan tersebut selepas beliau dilaporkan meninggalkan majlis lebih awal atas sebab peribadi.

Ketiadaan Haaland menyaksikan beliau terlepas peluang keemasan menyertai rakan sepasukannya di tangga istana bagi melakukan sorakan tradisi “Viking row” bersama puluhan ribu peminat yang diketuai sendiri oleh Putera Mahkota Haakon yang bermain dram.

Kemuncak majlis menyaksikan kesemua pemain dan pegawai pasukan dibawa berarak menaiki bas tidak berbumbung melalui pusat bandar raya Oslo bagi menghargai sokongan tidak berbelah bahagi peminat tempatan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.