
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Keputusan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) memilih Malaysia sebagai tuan rumah Piala Davis Asia-Oceania Kumpulan 3 yang bakal berlangsung pada 15 Julai hingga 18 Julai ini membuktikan kemampuan negara dalam menganjurkan kejohanan bertaraf dunia.
- Ketua jurulatih Mulyadi Jamal sasarkan slot kelayakan ke Kumpulan 2 tahun depan.
- Lebih 100 pemain dan jurulatih, disokong lebih 50 pegawai serta kakitangan sepanjang empat hari saingan.
- Lapan negara bertanding: Iran, Jordan, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Uzbekistan, Vietnam dan Malaysia.
- Malaysia dalam Kumpulan B, akan berdepan Arab Saudi, Vietnam dan Iran; perlawanan pembukaan menentang Iran esok.
Setiausaha Kehormat Persatuan Tenis Malaysia Kamaruzaman Kedah menyifatkan pemilihan Malaysia bagi tahun kedua mencerminkan keyakinan yang diberikan oleh ITF terhadap keupayaan Tenis Malaysia dalam menganjurkan kejohanan antarabangsa bertaraf dunia
“Satu penghormatan besar buat Malaysia untuk menganjurkan Piala Davis Asia-Oceania Kumpulan 3 buat tahun kedua berturut-turut. Ini mencerminkan keyakinan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) terhadap keupayaan Persatuan Tenis Malaysia untuk menganjurkan acara antarabangsa pada tahap piawaian tertinggi.”, katanya demikian pada sidang media yang diadakan hari ini.
Menurut beliau, kejohanan kali ini bakal menyaksikan penglibatan lebih 100 pemain dan jurulatih, selain dibantu oleh lebih 50 pegawai serta kakitangan sepanjang empat hari saingan berlangsung.
Sebanyak lapan negara akan berentap pada edisi kali ini iaitu Iran, Jordan, Filipina, Arab Saudi, Singapura, Uzbekistan, Vietnam dan tuan rumah, Malaysia.
Mengulas mengenai undian kumpulan, beliau memaklumkan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B dan bakal berdepan saingan sengit daripada Arab Saudi, Vietnam serta Iran, manakala Kumpulan A pula dibarisi oleh Jordan, Filipina, Singapura dan Uzbekistan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih skuad tenis negara, Mulyadi Jamal menetapkan sasaran tinggi buat anak-anak buahnya untuk memburu slot kelayakan ke Kumpulan 2 bagi saingan tahun depan.
Ujar beliau, para pemain negara kini berada dalam prestasi terbaik dalam usaha merealisasikan sasaran tersebut.
“Dari segi persediaan, saya rasa para pemain kita sudah cukup bersedia untuk kejohanan kali ini.
“Saya berharap gar mereka dapat melaksanakannya”, ujarnya.
Malaysia dijadual memulakan kempen Kumpulan B dengan menentang Iran pada perlawanan pembukaan esok (Rabu), sebagai langkah awal untuk memperbaiki pencapaian lalu selepas berjaya melonjakkan kembali kedudukan ke Kumpulan 3 pada tahun lepas.