
KUALA LUMPUR, 14 Julai – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) memberi jaminan aspek keselamatan, kualiti dan kepentingan awam sentiasa diutamakan dalam usaha menyiapkan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengikut jadual.
- ECRL dijangka memberi manfaat kepada rakyat dan menyokong pembangunan ekonomi negara.
- Kerja pembinaan diteruskan selaras dengan kelulusan, spesifikasi teknikal, keperluan kawal selia dan piawaian keselamatan pihak berkuasa.
- MRL menegaskan setiap aduan orang awam mengenai keselamatan dipandang serius.
- Isu yang difailkan di mahkamah akan melalui proses perundangan; MRL tidak akan mengulas dan akan beri kerjasama penuh.
Menurut syarikat itu, langkah tersebut bagi memastikan ECRL memberi manfaat kepada rakyat serta menyokong pembangunan ekonomi negara.
“Kerja pembinaan ECRL diteruskan selaras dengan semua kelulusan, spesifikasi teknikal, keperluan kawal selia serta piawaian keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa,” jelas MRL.
Pemilik projek ECRL itu menyatakan perkara tersebut susulan laporan media berhubung kebimbangan penduduk Taman Mutiara Gombak 2 mengenai aspek keselamatan berhampiran kawasan kediaman mereka.
MRL menegaskan setiap aduan dikemukakan orang awam dipandang serius.
“Isu berkenaan telah difailkan di mahkamah dan akan melalui proses perundangan yang sewajarnya.
“Sehubungan itu, pihak MRL tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang menjadi subjek prosiding bagi menghormati proses kehakiman,” menurut MRL.
Selain itu, kerjasama sepenuhnya akan diberi kepada mahkamah serta semua pihak berkuasa berkaitan.