
PUTRAJAYA, 14 Julai – Siasatan menyeluruh sedang dijalankan ke atas operasi “Network School” di Forest City, Johor yang didakwa disertai warga Israel menggunakan pasport kedua untuk memasuki Malaysia.
- JIM dan PDRM menjalankan siasatan menyeluruh mengenai identiti, kewarganegaraan, kesahihan dokumen perjalanan, jenis pas dan pematuhan undang-undang imigresen.
- Kementerian menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pelanggaran undang-undang yang menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara.
- Kerjasama rapat semua kementerian dan agensi dijalankan; orang ramai diminta tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, siasatan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi beberapa aspek termasuk identiti serta kewarganegaraan individu terlibat.
“Siasatan turut merangkumi status serta kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen yang diberikan, tujuan kemasukan ke Malaysia dan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta undang-undang lain berkaitan,” menurut kementerian itu.
Kerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan turut dijalankan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen atau menjalankan aktiviti bercanggah dengan undang-undang sehingga boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara,” tegas kementerian itu.
Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Johor menggesa KDN dan agensi berkaitan menyiasat operasi “Network School” di Forest City yang menimbulkan kebimbangan rakyat.