
RANTAU PANJANG, 14 Julai – Sebanyak 34 paket minyak masak bersubsidi dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara selepas dipercayai cuba diseludup ke Thailand melalui Pengkalan Haram Bilah Dollah, malam tadi.
- PGA mengesan cubaan menyeludup minyak masak subsidi ke Thailand.
- Suspek meninggalkan bungkusan lalu melarikan diri dengan perahu selepas menyedari kehadiran anggota.
- Kes diserahkan kepada KPDN Cawangan Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Rampasan dianggarkan bernilai RM85 itu dilakukan selepas suspek melarikan diri dengan menaiki perahu ke arah Thailand sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA mengesan seorang lelaki memunggah bungkusan plastik berwarna merah ketika rondaan kira-kira pukul 10 malam.
“Sebaik menyedari kehadiran anggota PGA, suspek meninggalkan bungkusan tersebut sebelum melarikan diri menggunakan perahu ke arah Thailand dan gagal dikesan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi 34 peket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap satu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Radzi, kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Pasir Mas untuk tindakan lanjut.