KUALA LUMPUR, 16 Disember- Anggaran sejumlah RM261 juta Bantuan Kewangan Haji bakal ditanggung Lembaga Tabung Haji (TH) kepada bakal jemaah haji muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat itu pada musim 1446H/2025M.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman memaklumkan bayaran haji bagi seorang jemaah muassasah kategori B40 bagi musim 1446/2025 ditetapkan RM15,000.
Bakal jemaah haji muassasah dalam kumpulan B40 akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.
Bayaran haji bagi seorang jemaah muassasah kumpulan M40 ialah RM23,500 manakala bayaran haji bagi seorang jemaah muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
"TH dapat mengekalkan kos haji pada RM33,300 seorang dan mengekang sebarang peningkatan kos bagi musim 1446H/2025M dengan mendapatkan kontrak penerbangan jangka panjang meskipun pada situasi harga minyak yang meningkat.
"Penginapan di tanah suci Mekah dan Madinah turut meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat yang dilaksanakan oleh kerajaan Arab Saudi."
"Namun demikian, pengurusan TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan harga penginapan terkawal," kata Syed Hamadah kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui pada Majlis Pengumuman Kos Haji, Bayaran Haji dan Bantuan Kewangan Haji 1446H di ibu negara.
Syed Hamadah berkata TH dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M, dengan kos haji kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.
Jelasnya, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak yang meningkat, bagi mengawal kos haji.
Beliau turut memaklumkan surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi 1446H/2025M akan mula dikeluarkan secara berperingkat bermula hari ini.
Bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab tawaran tersebut.