MUDRA: RM140 juta pembiayaan disalur kepada hampir 6,000 usahawan India

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 SeptemberSebanyak RM140 juta pembiayaan di bawah Modal Usahawan dan Rangsangan Ekonomi India (MUDRA) telah diluluskan dan disalurkan kepada hampir 6,000 usahawan India setakat Ogos tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • KUSKOP memperuntuk RM220 juta melalui MUDRA sebagai antara pembiayaan tertinggi bagi memperkasa usahawan India.
  • SPUMI di bawah TEKUN Nasional ditingkatkan kepada RM120 juta; RM64 juta telah diluluskan kepada lebih 1,900 usahawan.
  • Sebanyak RM39 juta atau kira-kira 60 peratus disalurkan kepada penerima pembiayaan kali pertama.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, berkata jumlah keseluruhan peruntukan MUDRA sebanyak RM220 juta merupakan antara pembiayaan tertinggi yang pernah disediakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi memperkasa usahawan India di Malaysia.

Menurut beliau, KUSKOP turut memberi perhatian terhadap usaha memperluas akses pembiayaan menerusi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional.

“Bagi Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI), jumlah keseluruhan pembiayaan telah ditingkatkan kepada RM120 juta, yang merupakan jumlah tertinggi setakat ini.Sehingga kini, sebanyak RM64 juta pembiayaan telah diluluskan kepada lebih 1,900 usahawan.

“Inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai usahawan di Malaysia mendapat akses kepada pembiayaan serta bantuan kerajaan.

“Daripada jumlah RM64 juta yang diluluskan menerusi SPUMI, sebanyak RM39 juta atau kira-kira 60 peratus disalurkan kepada penerima pembiayaan kali pertama,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia di sini, hari ini.

Tambah beliau, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan memastikan dana dan sumber pembiayaan awam dapat diperluas kepada lebih ramai usahawan, termasuk mereka yang sebelum ini belum pernah menerima bantuan atau pembiayaan kerajaan.

Pendekatan berkenaan penting bagi menangani antara isu yang sering dibangkitkan dalam kalangan usahawan, khususnya berkaitan akses kepada pembiayaan kerajaan yang didakwa masih tertumpu kepada kelompok penerima yang sama.

Dalam perkembangan lain mengenai Belanjawan 2027, KUSKOP menggariskan tiga prinsip utama sebagai input kementerian, termasuk menyediakan lebih banyak sumber pembiayaan kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Selain memperluas akses kepada pembiayaan, KUSKOP turut memberi penekanan kepada usaha mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Sim berkata perkara itu antara input yang dikumpulkan menerusi sesi libat urus bersama pemain industri, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili sektor PMKS.

Menurut beliau, input berkenaan telah dibawa dan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi Belanjawan 2027.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.