Kerajaan perkasa institusi pondok, pengajian turath secara berperingkat

Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. / Foto Fail BERNAMA

PUTRAJAYA, 20 September – Kerajaan akan memperkasa institusi pondok dan pengajian turath secara berperingkat termasuk pelaksanaan projek rintis, pengiktirafan serta laluan pendidikan yang lebih luas kepada pelajar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menekankan pemeliharaan identiti pondok, kekuatan turath dan adat guru murid sambil menyesuaikan dengan perkembangan teknologi moden.
  • Cadangan penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia melibatkan ulama antarabangsa untuk panduan dan konsultasi strategik.
  • Pengenalan Sijil Turath Malaysia sebagai persijilan rasmi untuk mengiktiraf kualifikasi dan laluan pendidikan pelajar pondok.
  • Model pembiayaan wakaf, sedekah dan tajaan serta penambahbaikan pendaftaran, tadbir urus, prasarana dan tenaga pengajar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, usaha itu penting bagi memastikan institusi pondok terus relevan seiring dengan keperluan semasa tanpa menghilangkan identiti asalnya iaitu kekuatan tradisi dan keilmuan.

“Usaha pemerkasaan, pemberdayaan, pengukuhan institusi pondok sama sekali tidak akan merentap jati diri mahupun identiti pondok.

“Identiti pondok, kekuatan turath, kekuatan tradisi, adat guru dan murid perlu ditekankan dan dipertahankan. Pada masa sama, institusi pondok perlu bergerak mengikut peredaran tekonologi dunia semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis penutup Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan 2026 yang berlangsung selama dua hari di kediaman rasmi Perdana Menteri, di sini.

Tambah beliau, antara cadangan pemerkasaan yang dipertimbangkan ialah penubuhan Majlis Penasihat Pondok dan Turath Malaysia yang bakal melibatkan ulama antarabangsa, pengenalan Sijil Turath Malaysia serta model pembiayaan berasaskan wakaf, sedekah dan tajaan bagi menjamin kelestarian institusi pondok.

“Pemerkasaan turut mengambil kira isu pendaftaran dan tadbir urus, keselamatan serta prasarana, tenaga pengajar, kurikulum, persijilan dan laluan pendidikan pelajar,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.