
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Ibu bapa disaran lebih peka dan meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan digital bagi melindungi anak-anak daripada ancaman siber, khususnya buli siber menerusi aplikasi komunikasi.
- Ibu bapa mesti faham risiko aplikasi dan teknologi baharu terhadap anak serta kesan penggunaan.
- WhatsApp boleh menjadi medium buli siber walaupun menetapkan had umur minimum pengguna.
- Sistem penyulitan end to end hadkan pemantauan kandungan; hanya ahli kumpulan dapat melihat perbualan.
- Program GenBina bersama MCMC memberi pendedahan dan panduan keselamatan digital kepada ibu bapa termasuk ibu bapa muda.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan aplikasi dan teknologi baharu menuntut ibu bapa memahami risiko penggunaannya serta kesannya terhadap anak-anak dan keluarga.
Beliau berkata, WhatsApp antara platform yang boleh menjadi medium buli siber dalam kalangan pelajar, meskipun menetapkan had umur minimum bagi pengguna.
“Tanpa kita sedari, WhatsApp menetapkan larangan kepada kanak-kanak bawah usia 16 tahun daripada membuka akaun. Namun, aplikasi ini masih boleh menjadi medium buli siber dalam kalangan pelajar.
“Ada yang mewujudkan kumpulan WhatsApp dan memasukkan pelajar tertentu sebagai sasaran buli siber. Memandangkan aplikasi ini menggunakan sistem penyulitan ‘end-to-end’, kandungan perbualan hanya dapat dilihat oleh ahli kumpulan berkenaan,” katanya.
Datuk Seri Fahmi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program Smart Parents Interactive Hub (GenBina) di Dewan Cengal, IWK Eco Park, Pantai Dalam.
Program GenBina dilaksanakan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Kempen Internet Selamat bagi memberi pendedahan kepada ibu bapa mengenai risiko penggunaan platform digital.
“Kumpulan sasaran kita ialah golongan ibu bapa, termasuk ibu bapa muda, kerana cabaran ketika ini adalah untuk mengenal pasti teknologi dan aplikasi baharu serta kesannya terhadap anak-anak dan keluarga.
“Kita mahu ibu bapa memahami risiko dalam talian dan langkah yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan anak-anak,” katanya lagi.