
KUALA LUMPUR, 18 Oktober – Program ASEAN Artpreneur Retreat 2026 (AAR 2026), anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara, melabuhkan tirainya pada Ahad selepas berlangsung sejak 5 Oktober lalu dengan tema “Innovate and Elevate”.
- Program tingkatkan kemahiran keusahawanan seni dengan fokus pengetahuan perniagaan, pemikiran strategik dan keupayaan menembusi pasaran tepat.
- Jaringan serantau membuka peluang kerjasama berterusan, memadankan warisan kraf dengan rekaan kontemporari untuk pasaran lebih luas.
- Seni dan budaya digalakkan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan pertumbuhan mampan industri kreatif ASEAN melalui kerjasama.
Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Christina Lee Mun Khei berkata, program itu menjadi platform kepada penggiat seni dan usahawan seni ASEAN untuk mengembangkan bakat kreatif kepada perniagaan yang mampan dan berdaya saing.
Menurutnya, kejayaan dalam bidang keusahawanan seni bukan sahaja bergantung pada kreativiti dan bakat, malah memerlukan pengetahuan perniagaan, pemikiran strategik dan keupayaan menembusi pasaran yang tepat.
“Bagaimanapun, kejayaan sebagai usahawan seni bukan hanya bergantung pada kreativiti, tetapi perlu disokong oleh pengetahuan perniagaan, pemikiran strategik, komunikasi berkesan serta keupayaan menembusi pasaran dan mendekati kumpulan sasaran yang tepat,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan AAR 2026 di Auditorium Balai Seni Negara, di sini.
Sementara itu, delegasi Singapura, Miguel Bay Hong, 25 tahun, berkata program berkenaan memberinya perspektif baharu dalam mengembangkan perniagaan seni, khususnya menerusi kerjasama dengan penggiat kraf dari seluruh Asia Tenggara serta penerapan warisan kraf dalam pendekatan fesyen kontemporari.
“Saya rasa program ini benar-benar meluaskan perspektif saya tentang cara mengendalikan perniagaan. Saya berpeluang bekerjasama dengan penggiat kraf dari seluruh Asia Tenggara, sambil meneroka cara mengangkat warisan kraf melalui potongan dan rekaan pakaian yang lebih moden, khususnya gaya streetwear,” jelasnya.
Miguel, yang turut menerima pengiktirafan Best Idea berkata, jaringan dan hubungan yang dibina sepanjang program itu penting bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama berterusan dalam kalangan penggiat seni serantau.
“Kita perlu bekerjasama dan saling menyokong. Kreativiti juga penting kerana kita perlu mencari sumber pendapatan. Jaringan dan hubungan yang terjalin amat bermakna, malah ramai antara kami kini sudah menjadi rakan,” ujarnya.
AAR 2026 menghimpunkan usahawan seni baharu dan berpengalaman dari seluruh ASEAN bagi memperkukuh kemahiran keusahawanan, berkongsi pengetahuan serta meneroka peluang pasaran bagi produk dan perkhidmatan kreatif.
Penganjuran program itu diharap dapat memperkukuh kerjasama serantau, selain menjadikan seni dan budaya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi serta pertumbuhan mampan industri kreatif ASEAN.