
KUALA LUMPUR, 20 September – Episod pertama Program Junior Innovathon 2026 yang memasuki musim ke dua penganjuran bakal menemui penonton bermula 9.00 malam ini di TV1.
- Daripada 50 pasukan, 10 pasukan terbaik dipilih; lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah bersaing untuk juara mingguan.
- Alif Satar kekal sebagai pengacara; Alyssa Dezek menyertai untuk segmen Diari yang menemui penonton pada hujung minggu.
- Program inisiatif Kementerian Ekonomi dengan sokongan tiga kementerian mempamerkan inovasi pelajar; juara episod akhir membawa pulang RM40,000.
Menurut penerbit program berkenaan, Razliza Abdul Razak, daripada 50 pasukan yang menyertai, sebanyak 10 pasukan terbaik bakal bersaing untuk menjadi juara mingguan.
“Kita tampilkan 10 pasukanlah lima pasukan sekolah rendah, lima sekolah menengah dan mereka akan bersaing untuk mencari juara mingguan dan juara mingguan akan bertemu di episod akhir nanti.
“Pengacara kita masih Alif Satar dan untuk tahun ini kita tampilkan Alyssa Dezek sebagai pengacara untuk segmen Diari yang mana Diari akan bertemu menemui penonton pada hari Jumaat dan Sabtu pada pukul 9.00 malam. Manakala hari Ahad adalah siaran episod juga pada pukul 9.00 malam di TV1,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.
Program inisiatif Kementerian Ekonomi dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu bakal menampilkan pelbagai produk inovasi daripada pelajar termasuk inovasi bidang makanan, aplikasi serta pembelajaran.
Juara episod akhir program pada 1 November nanti bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM40,000.