
JOHOR BAHRU, 20 September- Koleksi beg “Rumah Kampung” yang menampilkan karya seni Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dilancarkan sempena sambutan Hari Keluarga Johor di Dataran Bandaraya Johor Bahru, di sini, hari ini.
- Koleksi eksklusif: gambar pada beg adalah hasil tangan Seri Paduka Baginda, dicetak dari satu lukisan, bukan pengeluaran besar-besaran.
- Rekaan mengabadikan kenangan zaman kanak-kanak Seri Paduka Baginda melalui motif "Rumah Kampung".
- Sebahagian hasil jualan disalurkan kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor untuk pendidikan, kesihatan dan kebajikan sosial.
Seri Paduka Baginda berkenan merasmikan sambutan berkenaan yang turut diadakan serentak di Kluang, Mersing dan Segamat.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ), Hishamuddin Abdul Rahim berkata keistimewaan koleksi berkenaan terletak pada karya seni hasil tangan Seri Paduka Baginda sendiri.
“Ia eksklusif kerana kalau dilihat, gambar pada beg itu adalah hasil tangan Seri Paduka Baginda sendiri. Sebab itu ia bukan pengeluaran secara besar-besaran, sebaliknya dalam kuantiti terhad.
“Bagaimanapun, bukan Seri Paduka Baginda yang melukis setiap satu beg. Seri Paduka Baginda hanya menghasilkan satu lukisan, kemudian ia dicetak,” katanya.
Karya berkenaan mengabadikan kenangan zaman kanak-kanak Seri Paduka Baginda dan diterapkan pada rekaan beg “Rumah Kampung”.
Sebahagian hasil jualan koleksi itu disalurkan bagi menyokong pelbagai program YRZSNJ dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan sosial.
Beg eksklusif berkenaan boleh dibeli mulai hari ini menerusi pelbagai platform yang disediakan.
Berangkat sama mengiringi Raja Permaisuri Agong pada sambutan itu, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Program berkenaan merupakan cetusan idea Seri Paduka Baginda sebagai usaha meraikan dan menyantuni rakyat Johor, selain menyediakan ruang untuk seisi keluarga menikmati pelbagai aktiviti riadah bersama.