
KUALA PILAH, 20 September- Kira-kira 1,000 penduduk sekitar Kampung Tebat Kering di sini menerima manfaat menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi membabitkan peruntukan RM1 juta.
- Kementerian melaksanakan projek membina semula surau dan menaik taraf balai raya bagi memperbaiki prasarana setempat.
- Projek menyediakan kemudahan lebih baik, selesa dan selamat untuk aktiviti kemasyarakatan serta keagamaan penduduk.
- Kementerian menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) untuk capai spesifikasi dalam had bajet.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata peruntukan itu melibatkan projek membina semula Surau Kampung Tebat Kering dan projek menaik taraf Balai Raya Kampung Bukit Temensu/Kampung Tebat Kering.
Beliau berkata kedua-dua projek itu memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan dalam keadaan lebih baik, selesa dan selamat.
“Pada awalnya saya sedikit risau kerana spesifikasi asal surau itu mungkin sukar dilaksanakan dalam bajet yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, ketua setiausaha dan pasukan di Kementerian Komunikasi berjaya mencari penyelesaian dengan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kedua-dua projek berkenaan di Kampung Tebat Kering, di sini, hari ini.
Projek membina semula surau berkenaan bermula dengan tarikh milik tapak pada 27 November 2025 dan siap sepenuhnya pada 14 September 2026.
Projek menaik taraf balai raya pula bermula pada 17 Oktober 2025 dan siap sepenuhnya pada 26 Disember 2025.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pegawai Daerah Kuala Pilah merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail.