Keupayaan keselamatan siber diperkukuh seiring perkembangan teknologi – MOSTI

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 November – Malaysia perlu terus memperkukuh keupayaan teknologi keselamatan siber bagi menghadapi ancaman serangan siber yang semakin meningkat dan serius di peringkat global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlindungan maklumat sensitif dan aset kritikal perlu dipastikan walaupun ancaman siber tidak dapat dielakkan sepenuhnya.
  • Perkembangan penyelesaian keselamatan siber melalui syarikat tempatan dan syarikat pemula diperkasakan, termasuk pelancaran produk teknologi tempatan.
  • Syarikat teknologi perlu mengikuti perubahan pantas teknologi dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan keupayaan keselamatan siber negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, meskipun ancaman berkenaan tidak mungkin dapat dielakkan sepenuhnya, negara perlu memastikan maklumat sensitif serta aset kritikal yang penting kepada kepentingan strategik negara sentiasa dilindungi.

“Secara jujurnya, saya rasa tak boleh elakkan 100 peratus, tetapi sekurang-kurangnya kita kena pastikan apa yang sensitif, yang penting untuk negara kita itu tidak terdedah kepada risiko serangan siber,” katanya ketika ditemui media selepas perasmian Cradle LIVE! Summit 2026 di The Arch Galeries, di sini, hari ini.

Menurut beliau, Malaysia turut memberi perhatian kepada pembangunan penyelesaian keselamatan siber menerusi penglibatan syarikat tempatan dan syarikat pemula (startup) dalam bidang berkenaan.

Malah, satu produk berkaitan keselamatan siber turut dilancarkan pada majlis berkenaan, mencerminkan usaha memperkukuh pembangunan teknologi tempatan dalam bidang itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat teknologi tempatan perlu sentiasa mengikuti perkembangan dan kemajuan teknologi yang berubah dengan pantas bagi memastikan keupayaan keselamatan siber negara terus dipertingkatkan.

“Teknologi ini semakin hari semakin berubah dan perkembangannya sangat pantas. Jadi, kita perlu memastikan syarikat-syarikat kita juga mampu mengikuti perkembangan tersebut supaya negara dapat dilindungi daripada serangan siber seperti ini.

“Teknologi berubah setiap hari. Sebab itu kita perlu mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning) dan tidak boleh berhenti belajar,” jelasnya.

Semalam, serangan siber dilaporkan berlaku di sembilan negara Eropah sehingga mengganggu sistem penyejukan pasar raya, menyebabkan beberapa perniagaan terpaksa membuang bekalan makanan yang rosak susulan peningkatan suhu peti sejuk.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.