
LANGKAWI, 20 September – Langkawi Tourism Academy (LTA) @ Kolej Komuniti Langkawi memperkukuh ekosistem pembangunan pelajarnya menerusi pengoperasian Inkubator Usahawan Pelajar LTA dan Food Bank MADANI LTA.
- Inkubator Usahawan Pelajar menawarkan pengalaman perniagaan praktikal untuk melengkapkan pembelajaran dan latihan kemahiran pelajar.
- Food Bank MADANI menyokong kebajikan pelajar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan menyokong kesejahteraan.
- Warga institusi dan orang ramai digalakkan menyumbang untuk membantu pelajar yang memerlukan agar tidak mengikuti kelas dengan perut kosong.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim berkata kedua-dua inisiatif itu memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan serta kebajikan pelajar bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.
Beliau berkata Inkubator Usahawan Pelajar LTA memberi peluang kepada pelajar mendapatkan pengalaman perniagaan secara praktikal, sekali gus melengkapkan pembelajaran dan latihan kemahiran yang diterima sepanjang pengajian.
“Menerusi inkubator ini, pelajar dapat memperoleh pengalaman perniagaan secara praktikal, sekali gus melengkapkan pembelajaran dan latihan kemahiran yang mereka terima sepanjang pengajian,” katanya kepada media selepas merasmikan kedua-dua inisiatif itu sempena lawatan kerjanya ke LTA @ Kolej Komuniti Langkawi, hari ini.
Aminuddin berkata Food Bank MADANI LTA pula merupakan inisiatif sokongan kebajikan kepada pelajar dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif serta menyokong kesejahteraan mereka.
Beliau turut menggalakkan warga LTA dan orang ramai menyumbang menerusi inisiatif berkenaan untuk disalurkan kepada pelajar yang memerlukan.
“Kita menggalakkan sama ada staf ataupun orang ramai untuk memberi sedikit rezeki mereka dan meletakkannya di sini untuk kita berikan kepada anak-anak yang memerlukan.
“Kalau boleh, kita tidak mahu anak-anak pergi ke kelas dengan perut yang kosong,” katanya.
Beliau berkata Food Bank MADANI LTA telah lama diwujudkan hasil inisiatif warga institusi berkenaan dan kini terus diperkasakan sebagai sebahagian daripada usaha menjaga kebajikan pelajar.
Lawatan kerja beliau turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan program, pembangunan, tadbir urus serta kemudahan di LTA.
Turut diadakan sesi podcast “Nasi Lemak Kopi O” yang menampilkan Aminuddin bersama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr. Shamsuri dalam sesi perkongsian secara santai bersama warga LTA.