fb fb fb fb fb

Misi bantuan kepada Filipina berjaya dilaksana

Foto facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)

KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) kepada Filipina akibat Siklon Tropika Kristine (Trami) telah berjaya dilaksanakan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi kenyataan berkata bantuan itu diselaraskan dalam tempoh 24 jam selepas menerima permohonan daripada kerajaan Filipina.

Pasukan TUDM, lengkap dengan helikopter EC725 dan 16 anggota, telah berjaya menyelesaikan lima misi pengangkutan bantuan dari Manila ke Naga dan Albay dalam tempoh tiga hari.

Penggunaan helikopter memudahkan penghantaran bantuan ke kawasan yang terjejas, memandangkan cabaran geografi Filipina sebagai negara kepulauan.

Tempoh misi bantuan ditetapkan maksimum lapan hari bagi melengkapkan penghantaran sebelum Siklon Tropika Leon dijangka melanda awal November.

Sehingga kini, sebanyak sembilan bandar di Filipina telah diisytiharkan darurat bencana, dengan lebih 4.6 juta orang terjejas.

ROSLINA BINTI DIN