
PORT DICKSON, 14 Julai – Pembangunan Pelabuhan Midport bakal menambah kapasiti pelabuhan negara bagi memenuhi permintaan perdagangan global, sekali gus memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka.
- Midport adalah pelabuhan kontena pintar pertama negara yang berteraskan teknologi kecerdasan buatan.
- Projek ini menyokong peranan Malaysia sebagai sebuah negara maritim.
- Permintaan terhadap perkhidmatan pelabuhan dan logistik terus meningkat walaupun wujud pelabuhan utama sedia ada.
- Ketidaktentuan geopolitik di Terusan Panama, Terusan Suez dan Selat Hormuz meningkatkan kepentingan Selat Melaka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek pelabuhan kontena pintar pertama negara berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) itu memenuhi keperluan strategik Malaysia sebagai sebuah negara maritim.
“Pelabuhan ini bukan projek kecil. Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia. Jika kita hanya melihat kapal lalu-lalang tanpa memanfaatkan kedudukan strategik ini, maka kita tidak pintar.
“Walaupun Malaysia sudah mempunyai beberapa pelabuhan utama seperti Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas, tetapi permintaan terhadap perkhidmatan pelabuhan dan logistik terus meningkat. Justeru, kita perlu menambah kapasiti bagi memenuhi keperluan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Midport di Pasir Panjang di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Jelas Perdana Menteri lagi, ketidaktentuan geopolitik global termasuk isu di Terusan Panama, Terusan Suez dan Selat Hormuz menjadikan Selat Melaka semakin penting sebagai laluan perdagangan antarabangsa.
“Ketika terdapat kebimbangan terhadap ketidaktentuan politik di Terusan Suez dan permasalahan yang melibatkan Selat Hormuz, namun Selat Melaka kekal menunjukkan peranannya sebagai salah satu laluan maritim yang paling sibuk di dunia,” katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar, dianggarkan kira-kira 20 hingga 25 peratus perdagangan maritim dunia melalui Selat Melaka, sekali gus memberikan kelebihan strategik kepada Malaysia.