Menara FINAS: Simbol pembaharuan ekosistem industri kreatif – Fahmi

Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 24 Ogos Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Damansara yang dirasmikan hari ini disifatkan sebagai nadi baharu industri perfileman negara, sekali gus menjadi simbol pembaharuan ekosistem kreatif Malaysia yang lebih moden, berdaya saing dan mesra penggiat industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemudahan bertaraf dunia dalam Menara FINAS termasuk soundstage, pawagam digital, ruang latihan, muzium filem dan arkib lebih 81,000 bahan audiovisual.
  • Keutamaan FINAS memperkukuh kebajikan tenaga kerja industri termasuk menyelesaikan isu bayaran gaji produksi yang sering tertangguh.
  • Pindaan Akta FINAS 2025 dan Dasar Filem Negara 2026-2035 memperkukuh profesionalisme melalui kontrak standard, pembayaran tepat masa dan perlindungan sosial.
  • Prestasi filem tempatan meningkat; kutipan Skim Wajib Tayang melonjak daripada RM125 juta pada 2024 kepada RM253 juta pada 2025.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, menara baharu itu bukan sekadar bangunan pentadbiran, malah menghimpunkan kemudahan bertaraf dunia termasuk studio soundstage, pawagam digital, ruang latihan, muzium filem dan pusat simpanan lebih 81,000 bahan arkib audio visual negara.

Jelasnya lagi, antara keutamaan FINAS kini ialah memastikan kebajikan tenaga kerja industri terus diperkasa, termasuk menangani isu bayaran gaji
produksi yang sering tertangguh.

“Rakan industri ada menyatakan walaupun kerajaan beri dana, kadang kala projek sudah siap, kerja sudah selesai, malah sudah ditayangkan, tetapi gaji masih belum dibayar. Kita mahu tinggalkan perkara itu jauh di belakang melalui pindaan yang telah kita lakukan,” katanya.

Datuk Seri Fahmi menyatakannya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara FINAS yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi menambah, pindaan ketiga Akta FINAS 2025 dan Dasar Filem Negara 2026-2035 akan memperkukuh profesionalisme industri menerusi kontrak standard, pembayaran yang adil dan tepat pada masanya serta perlindungan sosial kepada penggiat seni.

Beliau turut memaklumkan prestasi filem tempatan terus mencatat peningkatan apabila kutipan Skim Wajib Tayang melonjak daripada RM125 juta pada 2024 kepada RM253 juta pada 2025, membuktikan keyakinan penonton terhadap karya tempatan semakin kukuh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.