
KUALA LUMPUR, 28 Januari — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang menilai dan menguji mekanisme penentusahan umur pengguna platform media sosial sebagai sebahagian keperluan pematuhan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866], dalam usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan remaja di platform digital.
- MCMC menguji mekanisme penentusahan umur melalui Regulatory Sandbox bersama platform media sosial.
- Penilaian meliputi keselamatan akaun, perlindungan data, privasi, ketepatan teknologi dan kesesuaian undang-undang.
- Teknologi termasuk pengesahan umur, pengesahsahihan entiti, AI untuk pengesanan kandungan berisiko.
- Selepas penilaian, penyedia platform diwajibkan halang pengguna 16 tahun ke bawah; penalti sehingga RM10 juta untuk pelanggaran.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penilaian tersebut merangkumi aspek keselamatan akaun pengguna, perlindungan data peribadi, pertimbangan privasi, ketepatan teknologi serta kesesuaian dengan kerangka perundangan negara.
“Bagi tujuan tersebut, proses Medan Ujian Regulatori (‘Regulatory Sandbox’) sedang dilaksanakan, di mana MCMC bekerjasama dengan penyedia platform media sosial untuk menilai pendekatan teknologi yang sesuai.
“Ini termasuk mekanisme pengesahan umur (‘age verification’), pengesahsahihan entiti (‘entity validation’), penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi pengesanan kandungan berisiko, serta penambahbaikan mekanisme pengendalian aduan yang lebih pantas dan berkesan.
“Usaha ini bertujuan memastikan perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap golongan kanak-kanak dalam persekitaran digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid di Dewan Rakyat, hari ini.
Tambahnya, selepas penilaian mekanisme penentusahan umur selesai, kewajipan memastikan pengguna berumur 16 tahun ke bawah tidak menggunakan akaun media sosial akan diletakkan kepada penyedia platform melalui instrumen subsidiari berkaitan.
Di bawah Akta 866, pemberi perkhidmatan berlesen yang gagal mematuhi kewajipan kawal selia kandungan memudaratkan boleh dikenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta.