Tiga kadar zakat fitrah ditetapkan di Kedah tahun ini

Pengerusi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Datuk Seri Norizan Khazali (tengah) pada Majlis Pengumuman Kadar Zakat Fitrah Kedah/Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 28 Januari – Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) menetapkan tiga kadar zakat fitrah bagi tahun ini iaitu RM9, RM15 dan RM23, berbanding dua kadar pada tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga kadar zakat fitrah ditetapkan: RM9, RM15 dan RM23 mengikut jenis beras.
  • Kadar berdasarkan timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.6 kilogram beras.
  • Sasaran kutipan zakat fitrah RM13.5 juta untuk diagihkan kepada 27,300 asnaf.
  • LZNK sediakan 23 saluran pembayaran dalam talian dan lantik 2,788 ejen serta 183 agensi.

Pengerusinya, Datuk Seri Norizan Khazali berkata, penetapan kadar itu dibuat berdasarkan harga dan jenis beras yang dimakan majoriti umat Islam di negeri ini.

Menurutnya, kadar tersebut ditetapkan berdasarkan timbangan satu gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kilogram beras.

“Kadar zakat fitrah yang ditetapkan ialah RM9 bagi beras tempatan, RM15 bagi beras import dan seumpamanya, manakala RM23 bagi beras basmathi dan seumpamanya.

Penetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman penetapan kadar Zakat Fitrah Kedah 2026, di sini pada Selasa.

Menurutnya lagi, bagi tahun ini, LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM13.5 juta dengan pengagihan kepada 27,300 orang asnaf sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, kenaikan kadar zakat fitrah berbanding tahun lalu didorong oleh faktor peningkatan harga barangan termasuk beras.

“LZNK menyediakan 23 saluran pembayaran zakat fitrah secara dalam talian seperti portal dan aplikasi rasmi LZNK, perbankan internet, e-dompet serta platform digital lain.

Seramai 2,788 ejen amil dan 183 agensi turut dilantik menggunakan kaedah digital seperti kod QR dan sistem MyAmil.Resit,” katanya.