MBI salur bantuan RM50,000 untuk golongan memerlukan di Gombak

GOMBAK, 26 Oktober – Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneruskan komitmen membantu masyarakat apabila menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000 kepada pelbagai golongan memerlukan di Gombak.

RINGKASAN BERITA AI
  • MBI menyalurkan RM50,000 kepada golongan memerlukan di Gombak melalui pelbagai bantuan.
  • Bantuan termasuk sumbangan kepada mangsa bencana, agihan zakat, peranti pelajar dan bakul makanan.
  • Yayasan MBI kekal komited memastikan bantuan sampai tepat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Bantuan itu meliputi sumbangan kepada mangsa ribut dan kebakaran, agihan zakat kepada golongan asnaf, pemberian peranti elektronik kepada pelajar sekolah menengah serta bantuan bakul makanan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor, berkata inisiatif itu mencerminkan keprihatinan berterusan yayasan dalam memastikan setiap bentuk bantuan sampai tepat kepada penerima dan memberi kesan positif terhadap kesejahteraan rakyat.

“Ini merupakan program sumbangan daripada Yayasan MBI. Kita ada zakat wakalah, sumbangan untuk bencana ribut dan kebakaran, serta sumbangan kepada sekolah dan kumpulan rentan.

“Sumbangan-sumbangan ini sentiasa dilaksanakan, dan MBI sentiasa komited dalam menyantuni rakyat Negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan di Dewan Komuniti Kampung Wira Damai di sini.