BUKIT BARU, 26 November- Mayat kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Goodwood di sini petang Sabtu ditemukan lemas.
Mayat Muhammad Danish Mohd Faizal ditemui dalam keadaan terapung kira-kira pukul 9.30 pagi tadi di dalam sebuah longkang selebar 10 kaki pada kedalaman hampir dua meter, di Taman Desa Baru.
Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli berkata, mangsa ditemui kira-kira 1.3 kilometer dari lokasi asal oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka.
Katanya, mangsa ditemui selepas pencarian dilakukan hampir 18 jam sejak petang semalam (Sabtu).
"Orang awam ada bagi maklumat kepada kami ada satu objek timbul di kawasan Taman Desa Baru, jadi kami hantar anggota ke lokasi dan membuat pemeriksaan dan mendapati objek tersebut adalah mayat kanak-kanak tersebut dan dalam keadaan sempurna.
"Kita keluarkan dan angkat ke kawasan lebih sesuai untuk melakukan identifikasi dan masa yang sama kita hubungi hospital dan polis. Selepas itu, mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, penduduk yang menemui mayat terbabit, Mohd Ariffin Zulkifli, 35 tahun berkata, dia dan isteri, Nurhidayah Yahya, 32 tahun, tergerak hati untuk membantu mencari mangsa selepas mendapat maklumat berhubung kejadian itu semalam.
Menurut Mohd Ariffin yang bekerja sebagai operator kilang ternampak objek terapung sebelum memanggil penduduk lain dan PPDA.
"Pagi tadi saya daripada rumah, ada orang kata budak hilang. Saya tergerak hati untuk keluar mencari.
"Saya mula mencari dari titik tempat kehilangan bermula dari sungai dan akhir sekali saya jumpa", kata Ariffin.
Terdahulu, kanak-kanak tersebut disedari hilang kira-kira 3.30 petang semalam sewaktu ibu dan bapanya sedang berniaga nasi kerabu di Taman Goodwood dan mangsa ketika itu sedang bermain dengan abangnya berdekatan longkang yang dipenuhi air berikutan hujan lebat sejak tangah hari.
Ketika kejadian, hanya selipar mangsa sahaja kelihatan di kawasan berumput berdekatan dan pihak keluargnya telah mencari selama 20 minit bersama orang ramai sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.