fb fb fb fb fb

MAQIS Kedah rampas lebih 27,000 kg ayam sejuk beku

FOTO HIASAN

ALOR SETAR, 29 Februari - Sebanyak 27,564 kilogram (kg) keratan ayam sejuk beku dirampas di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS Kedah Hisham Abu Bakar berkata pemeriksaan terhadap 1,257 kotak seberat 15,084 kg keratan ayam sejuk beku itu, pada 12 tengah hari, mendapati pengisytiharan barangan itu tidak tepat dan mengelirukan.

Selain itu katanya sebanyak 1,040 kotak seberat 12,489 kg keratan ayam sejuk beku yang tidak memiliki sijil halal dan sijil kesihatan turut dirampas untuk tindakan lanjut.

"Kesemua ayam dirampas dianggarkan bernilai RM275,640. Kes disiasat mengikut Seksyen 13 dan Seksyen 15, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan.

Katanya tindakan penguatkuasaan undang-undang menerusi operasi bersama agensi akan terus diperkasa bagi memastikan tumbuhan, karkas, ikan dan hasil pertanian bebas daripada ancaman perosak dan penyakit berjangkit serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

TETITIA YUSOFF