27 maut dalam dua kejadian tembakan di Afrika Selatan

Foto AFP

JOHANNESBURG, 27 September – Sekurang-kurangnya 27 orang maut dalam dua kejadian tembakan rambang di dua bandar utama Afrika Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lapan lelaki bersenjata menyerbu sebuah bar di barat Johannesburg; 17 maut dan 15 cedera.
  • Suspek melepaskan tembakan ke pelanggan di luar, memasuki premis, membakar dua kenderaan kemudian melarikan diri; motif masih tidak diketahui.
  • Kejadian berasingan di kawasan perbandaran luar Cape Town: 10 maut, 11 cedera; lima disahkan mati di tempat kejadian.
  • Tiada tangkapan setakat ini; keganasan berterusan dikaitkan dengan persaingan geng dan kadar pembunuhan harian yang sangat tinggi.

Kejadian pertama berlaku kira-kira pukul 7.30 malam waktu tempatan pada Sabtu apabila lapan lelaki bersenjatakan senapang menyerbu sebuah bar di barat Johannesburg, menyebabkan 17 orang maut dan 15 lagi cedera.

Mangsa terdiri daripada 13 lelaki dan empat wanita.

Menurut polis, suspek melepaskan tembakan ke arah pelanggan yang sedang minum di luar premis sebelum memasuki bar dan meneruskan serangan.

Suspek turut membakar dua kenderaan sebelum melarikan diri.

Motif serangan masih belum diketahui.

Dalam kejadian berasingan di sebuah premis hiburan di kawasan perbandaran di luar Cape Town, 10 orang maut manakala 11 lagi cedera.

Lima mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala yang lain meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan.

Tiada suspek ditahan setakat ini bagi kedua-dua kejadian pada awal Ahad itu.

Serangan tersebut berlaku ketika Afrika Selatan terus berdepan keganasan bersenjata yang sering dikaitkan dengan persaingan kumpulan samseng serta perebutan perniagaan tidak formal.

Negara berpenduduk kira-kira 62 juta orang itu mencatatkan sekitar 60 kes pembunuhan setiap hari, antara kadar tertinggi di dunia.

Pada Mac, tentera dikerahkan ke kawasan panas keganasan di Johannesburg bagi membantu polis menangani jenayah berleluasa, yang disifatkan Presiden Cyril Ramaphosa sebagai antara ancaman terbesar dihadapi negara itu.

Pada 2019, kira-kira 1,300 anggota tentera dikerahkan bagi membantu polis menangani keganasan kumpulan samseng di kawasan Cape Flats di sekitar Cape Town.

Namun, kejadian tembakan dan jenayah ganas lain terus menjadi ancaman berterusan.

Di Johannesburg, 10 wanita dibunuh dalam satu kawasan perbandaran dalam tempoh dua bulan, dengan mangsa terbaharu ditemukan pada Sabtu, dipercayai dibunuh menggunakan batu.

Polis menawarkan ganjaran 400,000 rand (AS$25,000) bagi maklumat yang membawa kepada penahanan pembunuh, manakala Democratic Alliance, parti politik kedua terbesar Afrika Selata, menawarkan tambahan AS$31,000. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.