
BANGKOK, 27 September – Hampir 4,900 orang dipindahkan ke pusat perlindungan, manakala kira-kira 52,000 isi rumah terjejas akibat banjir yang dicetuskan oleh hujan lebat selama beberapa hari di ibu negara Thailand.
- Lebih 330 milimeter hujan direkodkan, menyebabkan paras air di terusan kekal tinggi dan usaha mempercepatkan saliran.
- Hujan berterusan dijangka melanda hingga Isnin, dengan keadaan diramal mula reda selepas itu.
- Saintis memberi amaran intensiti dan kekerapan cuaca ekstrem akan meningkat susulan pemanasan global akibat pelepasan bahan api fosil.
Menurut Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA), lebih 330 milimeter hujan direkodkan di beberapa kawasan antara Khamis hingga Ahad.
“Rumah kami ditenggelami air selama kira-kira 30 jam,” kata pekerja pejabat Kosin Nilset, yang tinggal di sepanjang terusan Premprachakorn di pinggir Bangkok.
“Kali ini, paras air lebih tinggi berbanding banjir 2011,” kata lelaki berusia 44 tahun itu merujuk kepada banjir besar yang melanda seluruh negara Asia Tenggara itu, yang meragut lebih 500 nyawa dan merosakkan berjuta-juta rumah.
Paras air di rangkaian terusan Bangkok kekal tinggi pada Ahad, dengan pihak berkuasa berusaha mempercepatkan proses saliran.
Hujan berterusan dijangka melanda Bangkok dan wilayah sekitarnya sepanjang Ahad, namun keadaan diramal mula reda pada Isnin.
Para saintis memberi amaran bahawa intensiti dan kekerapan kejadian cuaca ekstrem dijangka meningkat susulan pemanasan global yang didorong pelepasan bahan api fosil.
Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt berkata, beberapa jalan raya masih ditenggelami air dan menasihati penduduk supaya mengelakkan perjalanan yang tidak perlu.
Beliau berkata demikian menerusi siaran Facebook Live ketika melawat sebuah pusat perlindungan sementara di sebuah sekolah di kawasan Kheha Romklao pada malam Sabtu.
Ratusan sekolah di bandar itu akan ditutup pada Isnin, menurut BMA.
Beberapa kedai serbaneka turut mengalami kekurangan bekalan sepanjang hujung minggu apabila penduduk berpusu-pusu mendapatkan barangan keperluan.
Pejabat Perdana Menteri meminta orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik, selain memberi amaran bahawa tindakan menaikkan harga secara melampau merupakan satu kesalahan jenayah. – AFP