
KULAI, 27 September – Lebih 100 juta panggilan penipuan berjaya disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dari Februari hingga Ogos lalu.
- MCMC, bersama syarikat telekomunikasi, melaksanakan inisiatif Inter Operator Spoofing Gateway untuk menyekat panggilan spoof.
- Jumlah panggilan spoof menurun ketara pada Julai dan Ogos kepada kira-kira 2.4 juta.
- Sindiket luar negara menggunakan Caller ID Spoofing untuk memaparkan nombor tempatan dan memperdaya mangsa.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu diperoleh hasil pelaksanaan inisiatif Inter Operator Spoofing Gateway.
Jelas beliau, jumlah panggilan yang disekat menunjukkan trend penurunan ketara pada Julai dan Ogos selepas mencatat angka tinggi pada beberapa bulan terawal pelaksanaan inisiatif berkenaan.
“Sejak Februari lalu, puluhan juta panggilan spoof disekat setiap bulan. Sebanyak 28.62 juta panggilan disekat pada Februari, diikuti 19.51 juta pada Mac, 17.12 juta pada April, 20.91 juta pada Mei dan 13.11 juta pada Jun.
“Bagi Julai dan Ogos, kita melihat jumlah panggilan spoof turun secara mendadak kepada kira-kira 2.4 juta,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Tonton Wayang Bersama Ahli Parlimen Kulai, di sini, hari ini.
Taktik Caller ID Spoofing digunakan sindiket penipuan dari luar negara bagi memaparkan nombor seolah-olah berasal daripada syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan untuk memperdayakan mangsa.
Dalam perkembangan lain, Teo berkata MCMC akan mengadakan mesyuarat secara dalam talian dengan Meta esok berhubung aduan akaun WhatsApp yang disekat atau tidak lagi dapat diakses.