PRN Melaka: BN muktamad kerjasama, penggunaan logo minggu ini

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Perhimpunan Agung Tahun Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di PWTC hari ini/Foto Facebook Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 27 September – Sebarang bentuk kerjasama Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimuktamadkan selepas perbincangan dengan parti berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • BN akan memuktamadkan bentuk kerjasama PRN Melaka selepas perbincangan dengan parti berkaitan.
  • Perbincangan mengenai gabungan, pembahagian kerusi dan penggunaan logo akan diadakan pada minggu ini.
  • Hasil rundingan dibawa kepada kepimpinan tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN untuk dimuktamadkan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perbincangan mengenai gabungan parti, pengagihan kerusi serta penggunaan logo dan lambang akan diadakan pada minggu ini.

Katanya, hasil perbincangan itu akan dibawa kepada kepimpinan tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN untuk dimuktamadkan.

“Perbincangan itu penting bagi menentukan bentuk persefahaman atau kerjasama yang akan digunakan dalam PRN Melaka.

“Semalam saya berada di Melaka dan telah mengadakan perbincangan dengan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka. Kita akan memuktamadkan perkara ini selepas perbincangan selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahun Ke-18 Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh diberi mandat untuk mengadakan rundingan dengan parti politik yang berminat menjalinkan kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula akan mengadakan mesyuarat khas pada 7 Oktober ini bagi membincangkan urusan PRN Melaka ke-16, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon dan hari pengundian.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan berkuat kuasa 23 September lalu bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.