Malaysia dijemput sebagai tetamu kehormat ke Harbin Expo 2027 di China

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 September – Malaysia bakal melangkah lebih jauh ke pasaran antarabangsa apabila sekali lagi dipilih sebagai negara tetamu kehormat pada Harbin Expo 2027 di China.

RINGKASAN BERITA AI
  • KampungGOOD tampilkan 39 produk tempatan pada Harbin Fair ke-35, termasuk makanan tradisional, kopi, teh, sarang burung dan madu.
  • KPKT galakkan pengusaha KampungGOOD mendapatkan pensijilan halal JAKIM untuk meningkatkan daya saing dan akses kepada pasaran pengguna Islam.
  • KPKT mencadang tambahan RM100 juta bagi meningkatkan dana pembiayaan kepada RM420 juta, memudahkan pinjaman sehingga RM150,000 dengan faedah efektif rendah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penyertaan itu merupakan kesinambungan usaha memperluas pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa, khususnya ke pasaran China yang mempunyai kira-kira 1.4 bilion penduduk.

Perkembangan positif turut dicatat menerusi produk KampungGOOD apabila 39 produk tempatan diketengahkan pada Harbin Expo 2026 di China, tahun ini.

Antara produk yang dipamerkan termasuk makanan tradisional, kopi dan teh, sarang burung, madu serta pelbagai produk tempatan lain.

“Ini sudah tentunya akan menjadi pemangkin dan menyemarakkan lagi semangat untuk memastikan produk-produk kita bukan sahaja dipasarkan di pasaran domestik, malah menembusi pasaran baharu di peringkat antarabangsa.

“Bayangkan, 1.4 bilion rakyat China menikmati produk makanan, minuman dan barangan keluaran Kampung Good serta produk tempatan kita. Sudah tentu peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan untuk rakyat juga amat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perasmian Ekspo Kampung Baru dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Produk Terbaik Kampung Baru Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut menggalakkan pengusaha KampungGOOD mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), sekali gus meningkatkan daya saing serta memperluas pasaran produk dalam kalangan pengguna Islam.

Dalam pada itu, KPKT akan mencadangkan tambahan peruntukan sebanyak RM100 juta daripada Kementerian Kewangan bagi memperkukuh dana pembiayaan khas untuk pengusaha di Kampung Baru, mulai tahun depan.

Nga berkata, tambahan itu akan meningkatkan keseluruhan dana pembiayaan daripada RM320 juta kepada RM420 juta.

Menurut beliau, permohonan tambahan peruntukan itu dibuat susulan sambutan menggalakkan terhadap skim pembiayaan sedia ada hasil kerjasama KPKT dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Kita telah menyediakan dana sebanyak RM320 juta untuk menawarkan pembiayaan dengan kadar faedah istimewa kepada pengusaha-pengusaha di Kampung Baru.

“Setiap pengusaha layak mendapatkan pembiayaan sehingga RM150,000 dengan kadar faedah efektif serendah dua peratus.

“Kalau meminjam daripada bank, kadar faedah boleh mencecah enam hingga tujuh peratus. Tetapi menerusi kerjasama KPKT dan BSN kadar efektif adalah serendah dua peratus, sekiranya peminjam tidak berlaku kemungkiran bayaran.

“Setakat pagi tadi, daripada keseluruhan dana RM320 juta yang disediakan, sebanyak RM300 juta telah berjaya disalurkan dalam bentuk pembiayaan,” katanya lagi.

Tambah beliau, lebih 99 peratus peminjam telah membuat bayaran balik pinjaman dengan baik dan mengikut jadual.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.