
KOTA BHARU, 27 September – Pesta Flora Negeri Kelantan 2026 bukan sekadar menghimpunkan peminat tanaman, malah membuka peluang kepada usahawan florikultur mencatat nilai jualan memberangsangkan.
- Pesta empat hari di Taman Perbandaran Tengku Anis sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V.
- Platform untuk usahawan florikultur memperluas pasaran, memperkukuh jenama dan menarik pelanggan ke nurseri.
- Memudahkan usahawan muda dan peniaga dalam talian menjana pendapatan lebih sambil memperkenalkan produk kepada ramai.
- Pesta catat kira-kira 100,000 pengunjung; tarikan termasuk pameran landskap PBT bertema Laman Fantasi dan pameran pokok bunga.
Pesta selama empat hari sejak 24 September di Taman Perbandaran Tengku Anis, Tanjung Chat itu diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V ke-57 .
Usahawan florikultur, Ahmad Shakir Mohd Rodzi berkata, penyertaan dalam pesta itu membolehkan beliau memperluas pasaran produk selain memperkukuh jenama perniagaannya.
“Kalau ada pesta seperti ini, ia banyak membantu dari segi jualan dan pelanggan kerana mereka akan mengenali kita melalui program seperti ini.
Selepas itu, mereka mungkin akan datang ke nurseri kita untuk membeli,” katanya.
Seorang lagi usahawan, Iskandar Zulkanaim Arif mengakui memperoleh pendapatan lumayan hasil jualan produk di pesta berkenaan.
“Pesta Flora ini antara platform yang baik untuk usahawan muda atau mereka yang berniaga secara dalam talian mendapatkan pendapatan lebih.
“Kalau di nurseri, hanya orang tertentu tahu mengenai kita, tetapi apabila berniaga di sini, lebih ramai dapat mengenali produk yang ditawarkan,” katanya.
Antara tanaman yang mendapat permintaan tinggi ialah pokok bunga ros, serta pokok buah-buahan dengan harga jualan antara RM8 hingga RM100.
Sepanjang empat hari penganjuran, pesta itu merekodkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung dari dalam dan luar Kelantan.
Antara tarikan utama ialah pameran landskap pihak berkuasa tempatan (PBT) bertemakan “Laman Fantasi”, selain pameran pokok bunga pelbagai spesis.