2,000 kanak-kanak autistik mula pembelajaran di 132 tabika KEMAS Januari 2027

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man (tiga, kanan) pada Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka di Semabok – Foto RTM

SEMABOK, 27 September – Kira-kira 2,000 kanak-kanak autistik bakal menerima manfaat apabila Tabika Tunas Istimewa@KEMAS mula beroperasi di 132 daerah lagi di seluruh negara pada Januari tahun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Persiapan pengambilan dan saringan dibuka Oktober ini bagi proses pendaftaran dan penilaian kanak-kanak autistik.
  • KEMAS akan mengambil hampir 400 guru untuk ditempatkan di Tabika Tunas Istimewa.
  • Perbincangan dengan UPSI bagi mendapatkan sijil profesional pendidikan khas sebagai nilai tambah kepada guru.
  • Saringan melibatkan Kementerian Kesihatan dan pendaftaran JKM untuk membolehkan bantuan serta elaun diterima.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, persiapan sedang giat dijalankan bagi proses pengambilan dan saringan yang akan dibuka Oktober ini.

Menurutnya persiapan turut merangkumi pengambilan hampir 400 guru yang bakal ditempatkan di tabika-tabika berkenaan.

KEMAS juga sedang menjalankan perbincangan bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi mendapatkan sijil profesional pendidikan khas kepada guru-guru berkenaan sebagai nilai tambah.

“Saringan bukan sekadar (melibatkan) proses pendaftaran, sebaliknya turut melibatkan pemeriksaan bersama Kementerian Kesihatan bagi menentukan tahap autisme mereka.

“Anak-anak autistik juga perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membolehkan mereka menerima bantuan atau elaun yang disediakan seperti mana yang dinikmati kanak-kanak berkeperluan khas bawah Kementerian Pendidikan, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Festival Masyarakat KEMAS Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf
Yusoh, di sini.

Melaka menjadi negeri perintis bagi penubuhan tiga Tabika Tunas Istimewa@KEMAS yang berjaya membantu 30 kanak-kanak autistik menunjukkan perkembangan positif.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.