fb fb fb fb fb

Mantan Ketua Staf Markas ATM dilantik Naib Canselor UPNM

Arman Rumaizi Ahmad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir/ Facebook Kementerian Pendidikan Tinggi

PUTRAJAYA, 4 Februari- Mantan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) baharu, berkuat kuasa 30 Januari.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan Arman Rumaizi berkelulusan ijazah sarjana sains sosial dalam bidang pengajian pertahanan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2012.

Dalam bidang ketenteraan, beliau juga pernah menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota dan Panglima Markas 2 Divisyen Pulau Pinang, serta dilantik sebagai penasihat ketenteraan kepada mantan Menteri Pertahanan dari 2014 hingga 2018.

"Dengan pengalaman dan reputasi kepimpinan yang dimiliki Arman Rumaizi, kementerian yakin beliau berupaya meneraju dan memperkasakan tadbir urus UPNM.

"...terutama dalam mengukuhkan pentadbiran organisasi, pembangunan akademik dan penyelidikan berteraskan sains dan teknologi pertahanan, bagi melahirkan bakat terbaik negara khususnya dalam sektor pertahanan dan keselamatan negara," menurut kenyataan hari ini.

Pelantikan Arman Rumaizi sebagai Naib Canselor UPNM ke-8 itu bagi menggantikan Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad yang bersara pada 29 Januari selepas memegang jawatan tersebut sejak 19 Jun 2023.

SITI AISHAH MD ISA