fb fb fb fb fb

Malaysia sambut baik penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Korea Selatan

FOTO PMO

VIENTIANE, 10 Oktober- Malaysia mengalu-alukan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Korea Selatan ketika meraikan ulang tahun ke-35 Hubungan Dialog ASEAN-Korea Selatan.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-25 yang turut dihadiri Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeo serta 9 ketua pemimpin negara anggota ASEAN.

Malaysia turut menyokong penyatuan aman Semenanjung Korea termasuk inisiatif yang diumumkan pada 15 Ogos lalu oleh Presiden Korea Selatan bagi melancarkan visi penyatuan dengan Korea Utara.

Datuk Seri Anwar dalam pada itu turut menekankan kerjasama digital yang dilihat perlu dipertingkatkan merangkumi pembinaan kapasiti, peningkatan kemahiran dan kepelbagaian strategik sumber manusia.

Sementara itu, pada Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-27, Malaysia telah mengetengahkan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama dalam rantaian bekalan dan kemajuan kecerdasan buatan antara blok negara 10 anggota itu dan Jepun.

Sidang kemuncak itu yang turut dihadiri Perdana Menteri Jepun yang baru Shigeru Ishiba menggalakkan kerjasama strategik dalam transformasi digital antara negara-negara anggota ASEAN.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE