Malaysia perketat import siakap dan udang Thailand mulai 1 Jun

Foto fail/BERNAMA

PUTRAJAYA, 16 Mei – Kerajaan Malaysia akan memperketat kawalan import produk perikanan dari Thailand apabila Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menguatkuasakan keperluan Sijil Analisis atau Certificate of Analysis (CoA) bagi import ikan siakap, selain mengenakan sekatan sementara terhadap lima spesies udang dari negara jiran itu bermula 1 Jun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan akan diteruskan sehingga maklum balas rasmi diterima dan selepas penelitian lanjut pihak berkuasa.
  • Langkah diambil bagi memperkukuh keselamatan makanan supaya produk memasuki pasaran mematuhi standard keselamatan dan kualiti.
  • Pelaksanaan kawalan import dibuat secara bersepadu bersama KKM, MAQIS dan AKPS di semua pintu masuk negara.

KPKM dalam kenyataan memaklumkan, lima spesies udang terlibat ialah Penaeus esculentes, Fenneropenaeus merguiensis, Penaeus vannamei, Penaeus monodon dan Penaeus stylirostris.

“Sekatan berkenaan akan diteruskan sehingga pihak berkuasa Thailand mengemukakan maklum balas rasmi lengkap terhadap soal selidik dikemukakan Malaysia, selain tertakluk kepada penelitian lanjut pihak berkuasa negara ini,” menurut kenyataan tersebut.

Langkah itu dilaksana bagi memperkukuh kawalan keselamatan makanan negara, khususnya memastikan ikan siakap dan udang yang memasuki pasaran tempatan mematuhi standard keselamatan serta kualiti ditetapkan.

Jelas KPKM, pelaksanaan kawalan import ini akan dibuat secara bersepadu menerusi kerjasama Program Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di semua pintu masuk negara.

KPKM turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan kawalan import berjalan lancar tanpa menjejaskan kestabilan bekalan ikan siakap dan udang dalam negara.

Tambah kenyataan berkenaan, KPKM kekal komited memastikan tahap keselamatan, sekuriti dan kualiti makanan negara sentiasa terjamin demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai panduan permohonan CoA akan dimuat naik di laman sesawang rasmi KPKM dalam masa terdekat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.