Malaysia kecam serangan Zionis Israel terhadap Lubnan, desak tindakan tegas antarabangsa

Pasukan penyelamat menjalankan operasi di lokasi serangan udara Israel di Al-Mazraa, Beirut/Foto REUTERS

PUTRAJAYA, 9 April — Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan rejim Zionis Israel terhadap Lubnan, yang berlaku tidak sampai 24 jam selepas gencatan senjata dicapai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Desak komuniti antarabangsa dan UNSC memastikan Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas serangan terhadap Lubnan.
  • Serangan Israel dianggap pencabulan kedaulatan Lubnan, melanggar resolusi UNSC dan mengancam kestabilan serta usaha diplomatik di Asia Barat.
  • Malaysia gesa hentikan segera serangan bagi melindungi nyawa orang awam, sambil menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Lubnan.

Malaysia turut mendesak komuniti antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC), memastikan Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas tindakan tersebut.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, serangan ketenteraan berterusan Israel terhadap Lubnan merupakan pencabulan nyata terhadap kedaulatan dan integriti wilayah negara itu serta melanggar resolusi UNSC.

“Peningkatan konflik ini juga menggugat secara serius perjanjian gencatan senjata selama dua minggu yang dicapai antara Amerika Syarikat dan Iran, serta mengancam untuk mengheret rantau tersebut ke dalam konflik yang lebih luas.

“Keadaan ini turut menjejaskan usaha diplomatik semasa, serta berisiko mengakibatkan ketidakstabilan menyeluruh di Asia Barat, dengan implikasi buruk terhadap keamanan dan keselamatan global,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Wisma Putra menegaskan tindakan Israel perlu dihentikan segera bagi mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa orang awam serta melindungi kedaulatan Lubnan.

Malaysia turut menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan dan rakyat Lubnan.

“Keamanan hanya boleh dicapai melalui penghentian semua serangan dan persengketaan selain komitmen jitu terhadap penyelesaian diplomatik yang aman,” tegas Wisma Putra.

Menurut laporan media antarabangsa, serangan udara berskala besar Israel di beberapa kawasan termasuk Beirut mengorbankan sekurang-kurangnya 182 orang dan mencederakan ratusan yang lain, menjadikannya antara hari paling berdarah dalam konflik berkenaan.